Monday 7 November 2016

Kraftangan : JERAMI PADI

  Inovasi kertas buatan tangan daripada serat batang pisang yang dihasilkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) memberikan ilham kepada usahawan Kraftangan Kedah, Mohd Azizudin Aziz yang berumur 34 tahun untuk memperkenalkan kertas buatan tangan daripada jerami padi. Dengan menggunakan teknologi seperti yang diperkenalkan oleh USM, Azizudin menjadi pengusaha pertama yang memperkenalkan kertas daripada jerami padi di negara ini. Beliau yang mendapat bimbingan daripada Kraftangan Malaysia cawangan Kedah, kini menumpukan sepenuh perhatiannya dan usahanya dalam menghasilkan produk kraf daripada kertas jerami padi. Antaranya ialah penghasilan lampu tanglung dan kaligrafi ayat-ayat al-Quran.

             Biarpun masih di peringkat inkubator, Azizudin yakin bahawa usahanya akan berjaya ditambah pula dengan sokongan dan bimbingan pemasaran secara komersial daripada pihak Kraftangan Kedah. Selain cintanya yang mendalam terhadap seni kaligrafi, minat berniaga juga turut menyebabkan Azizudin tanpa ragu-ragu meninggalkan dunia perguruan dan beralih dirinya dalam bidang keusahawanan. Lulusan dalam bidang Bahasa Arab dari Kolej Orman di Kaherah, Mesir ini pernah kerugian hampir RM10,000 apabila stok perniagaan mencetak kemeja-T dan kain telekung yang diusahakannya musnah ketika banjir.

Walau bagaimanapun, istilah putus asa tidak pernah wujud menyebabkan beliau bangkit untuk mencuba bidang yang baru.

Beliau berkata bahawa tumpuannya kini ialah menghasilkan produk kraf daripada kertas buatan tangan. Inovasi daripada jerami padi ini mulanya dijalankan oleh pihak Kraftangan sebelum diserahkan kepada usahawan untuk menghasilkannya secara komersil. Azizudin yang kini dibantu oleh dua pekerja yang merupakan pelatih Latihan Kemahiran Tenaga Kerja (LTTK) Kraftangan.Ketika ditemui di inkubator Kraftangan cawangan Kedah, Azizudin menunjukkan cara-cara penghasilan kertas daripada jerami padi. Prosesnya hampir menyamai penghasilan kertas kitar semula daripada bahan-bahan terbuang. Namun yang membezakannya ialah proses yang melibatkan jalan pintas yang lebih cepat dan mudah serta penghasilan kertas ini tidak memerlukan mesin yang canggih dan berat serta modal yang besar. Selepas jerami direndam semalaman, ia dikisar hingga hancur. Kemudian, isi dan seratnya diasingkan bagi mendapatkan serat asli.



Jerami yang belum diproses untuk dijadikan kertas

Setelah itu ia dimasukkan ke dalam mesin yang mengandungi campuran air, suratkhabar lama dan bahan lendir daripada tumbuhan semula jadi. Lendir yang digunakan ialah lendir kacang bendi atau lendir daun bunga raya. Lendir ini bertindak sebagai gam atau bahan pelekat. Ia kemudiannya ditapis menggunakan penangguk yang dibuat mengikut saiz kertas yang diingini. Campuran yang sempurna akan menghasilkan tapisan yang tidak berketul-ketul dan rata di atas penangguk. Setelah itu, ia dikeringkan pada suhu bilik dengan melekapkan penangguk tadi secara terbalik di atas helaian kain dan ditekan agar ia rata. Setelah kering, helaian kain tadi ditarik secara perlahan-lahan meninggalkan jerami padi yang telah pun menjadi sehelai kertas.




Pelatih yang  memasukkan jerami yang direndam ke dalam pengisar

 Menurut Abdul Ghani Yob, pereka dari Kraftangan Kedah yang bertanggungjawab membimbing Azizudin, selain jerami padi, kaedah ini juga boleh digunakan bagi menghasilkan kertas daripada pokok bebaru, kain-kain dan jean terpakai atau apa sahaja bahan yang menepati konsep kitar semula.Abdul Ghani menjelaskan bahawa walau bagaimanapun, penghasilan lampu tanglung dan kaligrafi daripada jerami padi yang diusahakan oleh Azizudin ini agak unik malah boleh diketengahkan sebagai produk kraf dari Kedah yang terkenal dengan jolokan Negeri Jelapang Padi. Kreativiti Azizudin jelas terbukti apabila tangan seninya menabur sekam padi di atas kertas yang terhasil.

         Tulisan kaligrafi di permukaan kertas jerami padi yang dihasilkannya tampak lebih menarik dan asli apabila dihiasi dengan taburan sekam padi. Mengakui memperoleh kepuasan dengan menghasilkan kaligrafi, beliau turut menyiapkan bingkai sendiri daripada pokok kayu pain. Tanpa bingkai, kaligrafi di atas kertas jerami padi itu dijual pada harga dari RM2 hingga RM120. Manakala kaligrafi yang berbingkai boleh mencecah sehingga RM700 mengikut saiz yang ditempah. Selain tempahan kaligrafi, beliau juga sedang menyiapkan tempahan 200 buah lampu tanglung daripada kertas yang sama. Lampu-lampu tanglung pelbagai warna itu cantik dan sesuai dijadikan hiasan siling mahupun di sudut rumah. Beliau berkata bahawa kini tumpuannya bukan sekadar kepada penghasilan kaligrafi dan tanglung sahaja, tetapi mensasarkan kepada rekaan lampu-lampu hiasan dinding gabungan kertas jerami padi dan rangkanya pula daripada kayu pine.

       Kesimpulannya, kreativiti dan invovasi amat penting bagi seseorang usahawan dan juga sesebuah perniagaan. Dalam masyarakat yang persaingannya yang semakin sengit, unsur kreativiti dan inovasi dapat menjamin perniagaan tersebut berterusan dan memperoleh keuntungan serta memenuhi cita rasa manusia yang berbeza. Mohd Azizudin Aziz merupakan satu contoh yang baik di mana beliau mencipta sesuatu benda yang baru dengan menggunakan kreativiti dan inovasi beliau untuk memenuhi cita rasa dan kehendak manusia.




MOHD AZIZUDIN AZIZ menunjukkan lampu tanglung yang dihasilkan daripada jerami padi

Image result for Mohd Azizudin Aziz ; Kaligrafi

Kanak-kanak yang membeli lampu tanglung yang dihasilkan oleh beliau

Image result for lampu tanglung dari kertas jerami padi
Lampu tanglung yang diperbuat daripada kertas jerami padi oleh beliau untuk menjadi hiasan rumah

1 comment:

  1. Sands Casino Resort | Southern Nevada, United States
    Play the latest slots, table games and live casino games at Sands Casino Resort, 바카라 사이트 including Blackjack, 메리트카지노 Roulette, Craps septcasino and Video Poker.

    ReplyDelete